Tuesday, August 24, 2010

Membuang dan Membunuh???

Sejak akhir-akhir ini negara yang kita cintai, Malaysia sering dikejutkan dengan ledakan kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi. Di dada-dada akhbar sering memaparkan berita tentang kes pembuangan bayi. Bayi yang tidak berdosa itu dibuang dan dibunuh oleh golongan ‘manusia’ yang tidak bertanggungjawab. Namun persoalannya disini, adakah kita juga tergolong dalam golongan ‘membuang dan membunuh’???

Sebenarnya, apa yang ingin penulis bincangkan disini adalah bukan mengenai pembuangan mahupun pembunuhan bayi, tetapi membuang dan membunuh yang penulis maksudkan adalah mengenai masa iaitu ‘membuang dan membunuh masa’. Apakah yang dimaksudkan dengan membuang dan membunuh masa?

Cuba kita muhasabah kembali diri kita, adakah kita tergolong dalam kes ‘membuang dan membunuh masa’? Dalam kehidupan seharian kita, kita telah diberi masa selama 24jam sehari oleh Allah SWT di muka bumi ini, namun sebanyak manakah kita mensyukuri nikmat kurnian Allah ini? Sejauh mana kita gunakan masa dengan sebaiknya untuk beribadah kepada Allah? Mari kita lihat, dalam beribadah kepada Allah, contohnya solat, kita solat lima waktu sehari semalam. Jika satu waktu kita mengambil masa 5 minit untuk solat, cuba kita darabkan masa 5 minit itu dengan 5 waktu, jawapannya??? Adakah cukup waktu itu untuk mengucapkan rasa syukur kita kepada Allah???

Mahasiswa contohnya, suka menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah dalam erti kata lain, membuang masa begitu sahaja. Dunia mahasiswa hari ini adalah dunia ‘facebook’, chating (yahoo messenger), melayari internet, lepak sambil berbual-bual kosong dan sebagainya. Cuba kita lihat sejauh manakah aktiviti yang kita lakukan itu memberi manfaat kepada kita dalam mengingati serta mendekatkan diri kita kepada Allah? Penulis rasa, anda semua mampu menjawabnya…

Di bulan yang mula ini juga, bulan Ramadhan, sejauh mana kita memanfaatkan masa sebulan berpuasa ini dengan sebaik-baiknya? Kita tahu bahawa bulan puasa ini adalah bulan ganjaran pahala yang diberikan Allah kepada hamba-hambanya, namun sejauh mana dan sebanyak mana kita merebut serta mengutip ganjaran pahala itu? Adakah kita terus membuang dan membunuh masa kita begitu sahaja??? Bagi mereka yang menyedari akan kelebihan bulan puasa ini, mereka berlumba-lumba melakukan amal ibadat dengan merajinkan diri ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah, mendengar tazkirah ramadhan, bertadarus, berusrah dan sebaigainya.

Selepas Ramadhan macam mana?

Tetapi persoalan yang penulis ingin timbulkan disini, adakah ia hanya berlaku di bulan ramadhan sahaja? Adakah selepas sebulan berpuasa, kita akan kembali kepada ‘membuang dan membunuh’ masa? Jadi, fikir-fikirkanlah…manfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya kerana masa adalah kehidupan atau usia seseorang. Membuang masa bererti menyia-nyiakan kehidupan, membunuh usia dan mendedahkan diri kepada kerugian, kegagalan dan kebinasaan.

Fobia dengan FPI???!

Ha, fobia??? Kenapa jadi begitu? Salah siapa? Hmmm itulah persoalan yang bermain difikiran penulis… Kenapa Fakulti Pengajian Islam? Fakulti lain tidak ke? Penulis percaya, mungkin sahabat-sahabat tertanya-tanya, kenapa dengan mahasiswa Fakulti pengajian Islam? Mereka lakukan kesalahan apa? Sebenarnya apa yang penulis ingin bincangkan disini adalah berkaitan dengan apa yang diberitahu oleh sahabat dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) berkaitan bahawa mereka berasa ‘fobia’ serta ‘takut’ untuk melalui kawasan disekitar Fakulti Pengajian Islam (FPI) kerana menganggap pelajar FPI memandang rendah atau ‘enteng’ kepada mereka mungkin disebabkan mereka tidak ‘bertudung labuh’ dan ‘menutup aurat dengan sempurna’ atau tidak ‘bersongkok atau berkopiah’. Bukan itu sahaja, ada juga sahabat-sahabat dari falkulti lain selain FSSK juga mengatakan bahawa pelajar FPI ini bermuka 'masam', boleh penulis katakana bermuka ‘ketat’, tidak mahu dan susah untuk senyum mahupun memberi salam.

Persoalannya, salah siapa???

Suka penulis katakan bahawa penulis akui apa yang dikatakan oleh sahabat-sahabat dari fakulti lain terhadap pelajar FPI mungkin ada betulnya. Memang tidak disanggah lagi kerana ini merupakan pandangan sahabat-sahabat yang melihat dan berhadapan dengannya. Apa sahaja yang dikatakan oleh sahabat-sahabat dari fakulti lain itu sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada kita di FPI dan sebagai mahasiswa di Fakulti Pengajian Islam, kita hendaklah menerima apa sahaja ‘kritikan’ yang diberi kepada kita. Jadikanlah ia sebagai muhasabah diri. Tetatpi apa yang penulis ingin katakan, tidak semua pelajar FPI bersikap sedemikian (pandang enteng, muka masam dan susah bagi salam serta susah senyum), ada juga dikalangan pelajar FPI murah senyuman dan salam walupun kuantitinya masih lagi agak kecil.

Muhasabah diri dengan 2 ‘S’

Senyum dan salam, memang senang untuk diukirkan dan diungkapkan kerana tidak memerlukan apa-apa modal mahupun wang ringgit tetapi ia tetap susah untuk dilaksanakan. Bukan sahaja pelajar Fakulti Pengajian Islam malah sesiapa sahaja tidak kira dari fakulti mana sekali pun, keadaannya sama sahaja. Kenapa harus menghukum atau meletakkan pelajar pengajian Islam susah memberi salam dan mengukir senyuman? Adakah mereka di Fakulti Pengajian Islam adalah orang yang dipandang? Jadi, jika mereka susah untuk memberi salam dan mengukir senyuman, kenapa tidak anda mulakan dahulu? Memberi salam dan mengukir senyuman merupakan biji benih bagi pohon dakwah yang kita sia-siakan begitu sahaja, amat rugi sekali…

Rasulullah s.a.w sendiri menyuruh kita sebagai seorang muslim supaya memberi salam kepada sesiapa sahaja samada kepada mereka yang kita kenal ataupun kita tidak kenal. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu tidak dapat memasuki Surga kecuali bila kamu beriman. Imanmu belumlah lengkap sehingga kamu berkasih-sayang satu sama lain. Maukah kuberitahukan kepadamu sesuatu yang jika kamu kerjakan, kamu akan menanamkan dan memperkuat kasih-sayang diantara kamu sekalian? Tebarkanlah ucapan salam satu sama lain, baik kepada yang kamu kenal mahupun yang belum kamu kenal.” (Muslim)

Jadi, sama-samalah kita bermuhasabah, sejauh manakah terbangnya salam yang kita sampaikan dan sebanyak manakah senyuman yang kita ukirkan… kepada sahabat-sahabat terutamanya di Fakulti Pengajian Islam, mulakan harimu dengan 2 ‘S’ iaitu ‘salam dan senyum’ kerana anda adalah orang yang dipandang dan terpandang, hilangkan fobia sahabat-sahabat dari fakulti pengajian lain. Perelokan dan perbaikilah diri ke arah yang lebih baik... Jika kita tidak mampu memberi salam, ukirlah senyuman kerana senyuman itu sedekah serta boleh merapatkan ukhuwah kita sesama Islam. Dari penulis, senyum-senyumlah selalu dan Assalamualaikum…(^_^)

Monday, August 9, 2010

Salam Ukhuwah


Assalamualaikum wbt...
Salam Ukhuwah, Salam Ramadhan Kareem diucapkan kepada sahabat-sahabat semua.
Tingkatkan amalan, perbanyakkan ibadah, ikhlaskan hati dalam mencari serta mengutip mutiara keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Di mana kita berada, katakan lah yang benar walaupun ianya pahit kerana yang benar itu tetap benar...
-SHOUTUL HAQ-